01 June 2012

Dialah Lelaki Itu!

Lelaki itulah yang menjaga aku. Lelaki itulah yang pertama aku sayang. Lelaki itulah yang sepatutnya menemani aku. Dan lelaki itulah yang sepatutnya menjadi wali aku. Dialah Abah.

Aku masih ingat, ketika aku kecil, aku ni seorang yang "cengeng" (kuat menangis). Abah lah yang selalu mempersendakan kelemahan aku, tapi dialah juga yang memujukku. Pernah sekali, aku keracunan makanan. Tak terlarat aku, hanya termuntah-muntah. Abah jugalah yang ku cari meminta penawar. Cukuplah pelukannya sebagai penawar.


Aku teringat, aku pernah ditamparnya kerana bergaduh dengan kakak aku. Sakitnya hati aku masa itu. Kenapa aku, tidak kakak aku? Merajuk jiwa aku bukan kepalang. Tidak satu pun ahli keluarga aku yang lain datang memujuk. Namun, abahlah juga yang datang membuang rajuk. Entah kenapa, cepat sahaja amarah aku sejuk apabila dipeluk abah.

Abah selalu bergurau dengan aku. Berkejar-kejar turun naik tangga. Aku nampak abah penat, aku nampak abah tercungap-cungap mencari nafas, tapi abah tak kisah semua tu asalkan dapat bergurau dengan anak-anaknya.

Aku juga seorang yang sangat manja dengan abah. Pergi mana-mana pun, mesti aku nak dengan sebelah abah, kalau makan kat luar, mesti aku nak duduk sebelah abah. Sampaikan kerusi makan aku dekat rumah pun, sebelah kerusi abah. Sampaikan abah pernah cakap, "Asal makan dekat luar je, mesti adik nak duduk sebelah abah."

Abah seorang yang hidup susah. Tapi abah berusaha untuk bekerja untuk mengenyangkan perut anak-anak abah, untuk menyekolahkan anak-anak abah. Kalau abah ada rezeki lebih, abah bawa anak-anak abah beli baju, bawa anak abah berjalan-jalan.

Abah seorang yang tegas. Abah nak aku dapat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan yang aku hadapi. Tapi aku tahu, kecewanya abah apabila aku mendapat keputusan yang teruk pada Peperiksaan Pertengahan Tahun ketika di Tingkatan Empat.

Tapi, itu semua hanya tinggal kenangan. Beberapa hari sebelum hari itu, aku ada minta tolong abah untuk mengendalikan Jamuan Akhir Tahun Pusat Sumber sekolahku. Dan tak semena-mena, abah mengatakan itulah pertolongan terakhirnya. Tak pernah abah berkata begitu. Tapi aku tidak begitu ambil serius apa yang abah kata.

Sehari sebelum hari itu, aku tak sihat dan mengambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah keesokan harinya. Betapa marahnya abah. Macam-macam yang dia bebelkan, tapi yang memelikkan aku, aku tidak ada perasaan untuk melawan cakap abah pada waktu itu. Selalunya, kalau abah marah, akulah orang yang takkan diam, pasti ada sahaja ayat abah yang aku nak patahkan. Tapi entah kenapa malam itu...aku hanya mampu diam seribu bahasa...

Malam itu juga, Pia tak berhenti menangis. Tak mahu tidur, hanya nak main dengan abah. Pia seperti taknak berenggang dengan aki nya. Seperti selepas itu, Pia tahu, dia takkan ada peluang bermain dengan aki nya lagi...

Pukul 4 pagi, 4 Ogos 2009, abah nak bersahur seperti biasa. Tapi yang memelikkan mak, abah lah yang siapkan juadah sahur. Selalunya mak yang buat semua itu. Tapi abah hanya mengejutkan mak untuk terus makan sahaja. Habis sahaja bersahur, abah terus naik atas. Tak lama selepas itu, abah terus turun naik, resah. Terus abah meminta mak mengurut belakang abah. Dan terus, abah memuntahkan seluruh isi perut abah ketika bersahur tadi.

Mak melihat kuku jari abah sudah biru. Abah pun semakin lemah. Mak agak abah diserang sakit jantung. Mak panggil kami adik-beradik tengok keadaan abah. Mak ambil keputusan nak bawa abah pergi hospital. Mulanya abah taknak, dan kami tahu abah memang tak suka pergi hospital, tapi mungkin abah dah tak tertanggung dengan sakit itu, akhirnya abah bersetuju. 

9 hari abah bertarung nyawa di katil hospital. Akhirnya, pukul 8.30 pagi, 12 Ogos 2009, doktor yang merawat abah mengesahkan yang abah dah tak ada lagi akibat serangan jantung. Gelap dunia aku ketika itu. Aku hilang tempat bermanja aku lagi, setelah aku kehilangan Bang Am dalam kemalangan, setahun dulu. Tak terdaya aku hendak berdiri ketika itu, apa yang dapat aku lakukan, aku hanya mampu memeluk belakang Adang, dan terus-terusan menangis...

Aku selalu mengatakan pada kawan-kawan aku, akulah yang paling kuat antara semua ahli keluarga aku. Sebab aku taknak mereka bersimpati dengan aku, hanya kerana aku kehilangan seorang ayah. Aku mengatakan pada mereka, aku bukanlah seorang yang manja. Tapi aku buang semua sifat manja aku sebab aku tidak mahu teringatkan kenangan dengan abah dan Bang Am. 

Maafkan aku kawan, bukan berniat untuk menipu. Tapi antara ahli keluargaku, akulah yang paling lemah. Ketika tahlil dibacakan, aku masih tersedu-sedan sedangkan ahli keluargaku yang lain sudah tenang menerima qada' dan qadar Allah. Tapi aku terpaksa berlakon dengan anda semua yang aku ini seorang yang kuat, kerana daripada kecil sudah tertanam sifat ego aku. Aku tak mahu menayangkan kesedihan aku, cukuplah kawan-kawan tahu, seorang yang bernama Elmi, seorang yang kuat.

Setelah kehilangan abah, baru aku sedar, tamparannya dulu telah menjadikan aku manusia yang berguna. Baru aku sedar, bebelan abah itu sekadar hendak mematangkan aku. Baru aku sedar, apa maksudnya dengan pertolongan terakhir itu. Dan baru aku sedar, kenapa Allah tutup perasaan aku daripada melawan cakap abah malam itu...

Tak banyak bakti yang aku lakukan untuk abah memandangkan usia aku yang masih belasan tahun. Yang ketika itu masih lagi bergantung harap pada abah. Apa yang mampu aku lakukan, hanya mampu menyenangkan hati abah, walaupun tak sempurna sikap aku di mata abah. Masih aku ingat, bakti terakhir yang aku lakukan untuk abah sebelum abah tak sedarkan diri, aku membantu abah memakaikan baju buat kali terakhir. Dan bakti aku yang terakhir sebelum abah dijemput Izrail, aku mengajar abah mengucap dua kalimah shahadah. Sungguh, hanya sekali sahaja aku mampu ajarkan disebabkan aku tidak mampu menahan sebak dan air mata. Aku tahu, ketika itu, masa abah tidak panjang dengan kami dan ketika itu, aku tidak dapat terima kenyataan untuk kehilangan abah.

Tapi yang paling aku terkilan, aku dah dapat tebus balik kegagalan aku ketika peperiksaan dengan keputusan cemerlang di kolej, tapi apa yang mampu aku buat, aku hanya mampu berbicara di tepi pusara abah mengenai kejayaan aku yang tak sempat dia lihat.

Abah, adik pernah kata pada diri adik, adik dah takkan tunjuk sikap manja adik lepas abah pergi. Tapi abah, walaupun adik dah hilang dua lelaki yang paling adik sayangi, Allah gantikan seseorang sebagai tempat adik meluahkan masalah dan tempat untuk bermanja. Dia cakap, sebelum kenal adik, dia ingat adik garang. Tapi dah lama kenal adik, baru dia tahu adik manja. Adik harap dia tak marah adik sembunyikan sikap manja adik. Bukan hipokrit. Cuma adik ego, adik hanya nak bermanja dengan abah, bukan orang lain. Tapi Allah bukakan pintu hati adik untuk terima orang lain. Walaupun dia tak seperti Bang Am dan abah, tapi adik bersyukur abah, dia baik, macam abah dengan Bang Am. Dia terima adik macam abah dengan Bang Am terima adik walaupun adik ini degil, keras kepala dan suka lawan cakap.

Tapi adik sedih abah, masih ramai generasi muda yang sanggup buang ayah dan ibunya sendiri. Tidak berperikemanusiaan kah mereka? Adik kalau boleh nak jaga abah bila adik kerja suatu hari nanti, adik nak beli rumah untuk abah, adik nak beli kereta Mercedes idaman abah, tapi abah selalu cakap balik dengan adik, "Entah sempat atau tak abah nak tunggu adik". Perit adik rasa bila adik hilang abah, tidakkah mereka rasa begitu? Mereka masih ada peluang untuk berbakti dengan ayah mereka, tak seperti adik. Allah dah tarik nikmat untuk adik berbakti pada abah, tidakkah mereka bersyukur?

Tapi tak apa abah, mak masih ada. Sungguh sukar untuk adik kikis kelemahan adik, tapi abah, adik tidak berjanji, tapi adik akan cuba berbakti pada mak, jaga mak macam mana abah jaga mak dulu selagi hayat mak masih ada. Abah, jujur adik kata, adik sedih apabila banyak yang adik janji dekat abah, tapi tak dapat tunaikan. Sebab Allah lebih sayangkan abah. Tapi adik gembira sebab Allah ambil abah dari kami sebab Allah sayangkan abah.

Abah, adik tahu, sanak-saudara abah yang lain selalu merendah-rendahkan dan memperlekehkan abah sebab abah tak kaya macam mereka, abah hidup susah. Tapi adik gembira abah, sebab Allah tetapkan jenazah abah dalam keadaan yang mulia. Bukan nak membanggakan diri atau hanya nak bercakap baik sebab abah adalah ayah adik, tapi adik tak pernah tengok jenazah orang lain tersenyum manis, tapi itulah yang adik lihat dekat abah. Bukan adik, tapi semua orang pun nampak. Adik tak pernah tengok abah senyum semanis itu. Seperti abah melihat sesuatu yang indah di langit sana. 

Sehinggakan, ketika adik cium abah, spontan adik cakap, "Abah senyum ye." Adik ternampak ada seorang saudara kita, duduk di sebelah abah, hanya diam apabila adik cakap begitu. Tak apalah, orang yang pernah merendahkan abah, dah lihat kekuasaan Allah. Harta benda takkan menjamin kemuliaan pada wajah kita selepas kita meninggal nanti. Hanya amal jariah dan amal ibadat yang akan menentukan kedudukan kita di sisi Allah. Adik pun tak berdendam dengan mereka, abah. Biarlah mereka sedar sendiri dan bermuhasabah diri apa yang pernah mereka lakukan pada abah dan biarlah Allah yang tentukan semuanya.

Adik bangga jadi anak abah. Sungguh abah tak dapat nak penuhi semua keinginan adik sebagai seorang anak muda masa kini, tapi adik bersyukur sebab abah mampu bagi kasih sayang dekat adik dan anak-anak abah yang lain. Abah memang garang, tapi dalam garang abah penuh dengan didikan. Pernah adik pertikaikan kenapa abah garang sangat, tapi kini adik sedar kenapa abah buat semua tu. Abah nak anak-anak abah jadi manusia berguna suatu hari nanti.

Abah, dah dekat tiga tahun abah tinggalkan kami. Bang Am pula, dah empat tahun tinggalkan kami. Tapi pemergian abah dan Bang Am makin merapatkan hubungan kami adik-beradik. Sekurang-kurangnya Bang Am ada teman di sana. 

Abah, Bang Am, tunggu kami di sana, kami akan menyusul kemudian apabila tiba masanya nanti!

#Tiba-tiba, teringatkan kedua-dua lelaki ini yang akan sentiasa dalam hati. Al-Fatihah buat arwah abah (Abdul Muluk) dan arwah Bang Am (Ikram Hafiz) dan juga buat semua kaum muslimin dan muslimat yang telah mendahului kami, menghadap Ilahi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka...



No comments:

Post a Comment