06 November 2013

Mengapa Manusia Suka "Menyusahkan" Manusia Lain?

p/s: aku bukan manusia sempurna untuk menghukum orang itu begini, orang itu begitu, tetapi ini merupakan suatu pengajaran yang pasti buat aku, juga buat kenalanku. Jika ada yang tidak berpuas hati dan terasa walaupun aku tidak menyertakan nama, aku menyusun sepuluh jari memohon kemaafan. Cuma aku berharap ini dapat memberi kesedaran buat mereka, juga buat aku supaya tidak melakukan perbuatan yang menyakitkan hati manusia lain. 

20 tahun aku bernafas di bumi Tuhan ini, pelbagai ragam manusia aku lihat. Yang baik memang menyedapkan mata. Tetapi yang kurang baik? Menyakitkan aku, juga manusia lain.

Terkadang aku terfikir, tidak punya perasaan kah manusia yang "menyusahkan" manusia? Jika mereka tidak punya perasaan, apatah lagi kemungkinan mereka berfikir akan perasaan orang lain. Mungkin, jika aku tak mengenali mereka, tidak aku ingin pedulikan. Mungkin. Tetapi mereka itu sudah terpalit dalam hidup aku. Perlu jugakah aku mendiamkan diri? Tak mungkin.

Golongan-golongan yang kawan makan kawan, menaruh hasad dengki, melibatkan orang dalam masalah sendiri, itu dah biasa aku lihat. Tetapi yang lebih memberi virus dalam sistem kehidupan adalah sub-sub daripada masalah yang aku sebut di atas; 

"Membiarkan kawan membuat kerja berkumpulan sendiri dan dia duduk goyang kaki memberi arahan kerana sekadar mahu menumpang markah yang tinggi, melampiaskan nafsu sendiri tetapi memperlihatkannya di khalayak tanpa memikirkan perasaan malu yang akhirnya melibatkan khalayak di dalam masalah, melepak di rumah bukan mahram tidak kira siang atau malam seperti pasangan suami isteri yang sah, terlalu ingin menjatuhkan kehidupan orang lain kerana tak suka orang lain hidup senang."

Tidak. Aku tidak menyentuh isu dunia. Ini cumalah isu dari kehidupan kolej, yang mana jika tak dibendung, mungkin, akan merosakkan dunia.

Ye, mungkin ramai yang pandang enteng akan teguran ini, pasti dalam hati mereka mengatakan, "Eleh Elmi, dia pun sama je, maybe lagi teruk dari kitorg adelah, ade hati nak menegur", "Tak payahlah ambil tahu hidup aku, life aku, aku tak peduli apa orang nak kata". Itulah ayat yang paling biasa aku dengar. Tidak sahaja secara langsung aku dengar, malah penyampaian dari mulut ke mulut orang berkata begitu pada aku.

Ye! Aku teruk. Kerana aku bukan malaikat yang suci dari dosa. Tetapi aku juga berharap aku bukanlah syaitan yang mengajak manusia ke jurang kejahatan. Kerana pendirian itu, aku tidak ingin melihat kau, kau dan kau terus hanyut dalam mimpi "indah" yang kau cipta yang bisa beri kebinasaan pada kau, kau dan kau satu hari nanti. Kerana mereka yang melihat kerosakan di depan mata tetapi tiada usaha untuk mencegahnya dikira bersubahat dengan kerosakan itu. Aku tidak ingin membawa saham sebegitu di akhirat nanti. Kerana itu aku belajar untuk menerima jika ada yang menegur kekurangan aku, MENEGUR bukannya mengutuk dan menjatuhkan aku. 

Dan kerana itu aku tidak menyertakan nama. Kerana biarlah cerita itu menjadi pedoman buat kita, bukan mengaibkan. Jika tidak mampu hidup secara warak, cukuplah, jadi insan yang menyenangkan hati keluarga dan manusia sejagat.

Jadi buat kenalanku,

-Hargai rakan kita seperti teman sejati, bukan hamba abdi.
-Lelaki, hargai perempuan untuk dijadikan isteri, bukannya teman sekatil semata-semata tanpa ikatan sah. 
-Lelaki, walaupun belum berkahwin, janganlah dayus. Jika girlfriend yang ingin dijadikan isteri membuat kesalahan dan tidak menjaga maruah anda sebagai lelaki, tegurlah kesalahan itu, bukannya membiarkan kerana sayangkannya. Tugas lelaki adalah melindungi perempuan,bukan merosakkannya.
-Perempuan, kita begitu berharga. Janganlah terlampau rakus mengejar tempat dalam kalangan bukan mahram kerana inginkan perhatian. Bukan kata kita tak boleh bersosial, tetapi jagalah adab, jagalah maruah. Ingat, gula-gula tanpa pembalut yang jatuh di atas pasir takkan ada siapa yang ingin memakannya lagi.
-Perempuan, jagalah maruah bakal suamimu. Dia punya hati untuk dijaga. Jika sebelum kahwin kita sudah memberi macam-macam untuk bukan mahram yang tiada apa-apa hubungan istemewa dengan kita lihat, rasa dan pegang, apalagi hak ekslusif yang suamimu bakal dapat?
-Anak-anak, jagalah maruah keluargamu. Jangan terlalu hanyut dengan kehidupan bersama kawan-kawan. Ingat janji kita pada mereka. Untuk berjaya. Banggakan mereka. Bukannya menjadi frontpage paper menjadi pelajar kolej yang ditangkap khalwat atau ditahan di lokap kerana jenayah.

Akhir kata, buat adik-adik aku yang membaca luahan ini, ambil iktibar. Jangan ikut perangai kami, kakak-kakak dan abang-abangmu ini. Sekali terjebak, susah untuk berpatah balik. Belajarlah sehingga ke menara gading. Berkawan lah dengan orang yang betul akhlaknya. InsyaAllah, adik-adik takkan hanyut. Buat kenalanku, tak pernah ada dalam kamus hidup kita terlambat untuk berubah .Selagi Izrail tak menjemput kita pulang, selagi itu kita punya peluang untuk berubah. Berubahlah demi keluarga kita, demi ibu bapa kita.

Buat rakan-rakanku di DCS Kolej PolyTech Mara KL Batch 0711, semoga berjaya dalam Final Exam terakhir kita. Semoga kita dapat  grad dengan berjaya. Juga buat mereka yang bakal atau sedang menghadapi final exam. Semoga berjaya.

No comments:

Post a Comment