Abah.
31 Julai 2009 - Terkejut aku tatkala dengar ayat itu waktu dia hantar aku ke sekolah tengah hari Jumaat itu untuk urusan jamuan Pusat Sumber. Pagi itu aku tidak ke sekolah sebab tidak tahu apa puncanya, tak seorang pun bangun pagi, tidak tersedar akan bunyi alarm. Aku terkejut ketika menyambut tangannya untuk disalam dan dicium, dia melafazkan, "Ini pertolongan terakhir abah tau" mungkin merujuk pada pertolongannya membantu aku mencari sponsor untuk jamuan Pusat Sumber. Masakan seorang ayah tak mau menolong anaknya lagi kan? Aku gelak dan keluar dari kereta, menganggap itu hanya satu siri gurauannya yang lain.
1 Ogos 2009 - Jamuan Pusat Sumber berjalan dengan lancar walaupun ada sedikit kelam kabut. Penat memang penat. Tapi puas. Terima kasih abah sebab membantu serba sedikit. Malam itu, abah minta aku mengurut kakinya seperti biasa. Dalam pada aku mengurut kakinya, spontan dia menyebut, "Pandai adik urut kaki, macam arwah Ikram" sambil menangis teresak-esak. Abah memang sayangkan Bang Am, tapi Allah lebih sayangkan dia apabila dia dijemput Ilahi pada 26 Ogos 2008 dalam kemalangan ketika hendak pulang ke rumah dari tempat belajarnya di Unisel. Aku hanya mampu urut belakang abah dan tenangkan dia, sampai aku tak sedar air mata aku bergenang sekali.
3 Ogos 2009 - Masa ni bulan Syaaban. Abah dan mak memang rajin buat puasa sunat. Aku pula puasa gantilah. Masa berbuka, memang terserlah perangai pelik abah. Dalam adik-beradik, abah paling tak ngam dengan Adang. Tapi petang tu, abah boleh ajak Adang kongsi pinggan dan cawan dengan abah padahal abah tak suka berkongsi cawan dan pinggan. Lepas berbuka, abah tengok iklan. Iklan yang sama saja sebelum ni abah tengok, tapi abah asyik tanya aku, "Itu iklan apa adik". Laksana kanak-kanak kecil bertanya berulang kali. Dan aku hanya menjawab dengan sabar (mujur ketika ini Allah matikan perasaan aku untuk melawan sebab aku memang jenis melawan dan keras kepala).
Lepas berbuka, aku dah rasa tak sedap badan. Aku meminta izin pada abah untuk tidak ke sekolah keesokan harinya. Biasalah orang tua, membebel sampai dia penat. Aku menadah telinga je tanpa melawan. Kali ni aku bersyukur sangat sebab Allah matikan hati aku lagi untuk melawan. Kalau tak, tah apa pula aku balas bebelan abah tu.
4 Ogos 2009 - Pagi tu nak bersahur. Aku tak puasa sekali sebab memang rasa tak sihat. Selalunya mak yang panaskan lauk untuk sahur, tinggal nak kejut abah je. Tapi pagi tu, abah yang kejutkan mak dan buatkan mak lagi terperanjat, lauk semua dah terhidang atas meja! Tinggal nak makan je. Abah tidak pernah begitu. Selalunya dia kalau nak buat kerja dapur, dia akan ajak mak atau anak-anak. Ni dia buat sendiri. Siapa tak pelikkan?
Lepas sahur, abah turun naik tangga. Gelisah. Dia minta mak urut dada. Mak rasa dada abah berpeluh. Terus saja abah muntahkan isi sahurnya tadi, terkena pada kasut sekolah aku. Mak tengok kuku abah dah biru. Kebetulan anak-anak semua di rumah. Mak ajak abah ke hospital. Mula-mula abah degil tak nak pergi, akhirnya dia akur, mungkin dah tak tahan sangat.
Mak suruh ambil perkakas abah untuk dipakai. Aku ambilkan baju. Yang lain ambilkan jam dan cermin mata sebab itulah aksesori abah yang wajib dipakainya bila keluar. Tetapi dia enggan memakai cermin mata dan jam. Menimbulkan lagi kepelikan. Mujur dia mahu pakai baju yang aku pegang, tapi dia tak mahu butang, "Abah panas" katanya.
Abah tak mahu siapa-siapa pimpin dia, dia sendiri nak berjalan ke kereta. Dalam sakit-sakit abah masih kuat semangat. Aku tidak mengikut. Duduk di rumah dengan kerisauan. Risau apa-apa jadi pada abah. Abah dimasukkan ke Coronary Care Unit (CCU) Hospital Selayang hari itu juga disebabkan serangan jantung.
5 Ogos 2009 - 10 Ogos 2009 - Sepanjang minggu ini aku tidak bersekolah. Tak fokus jadi aku tak ingin ke sekolah. Sudah aku maklumkan pada cikgu. Abah ditidurkan supaya senang doktor memasukkan tiub pernafasan melalui mulut dan memasukkan ubat. Sepanjang abah tidur, kami memohon supaya abah cepat sedar. Macam-macam nak cerita dengan abah.
Satu hari, aku ambil kesempatan baring sebelah abah, bisik ke telinga abah mintak maaf atas segala kedegilan aku selama ini. Aku minta abah cepat bangun. Aku cium abah. Aku harap abah dengar sebab doktor cakap apa-apa yang kita cakap InsyaAllah abah dengar sebab abah berada dalam keadaan separa sedar. Perut abah yang boroi yang jadi mainan aku dah jadi kempis sebab abah hanya bergantung pada susu yang dimasukkan melalui tiub. Itu lagi membuatkan hati aku pedih melihat keadaan abah.
Ketika ini, abah bukan sahaja didiagnosis sakit jantung, tetapi turut
mengalami masalah buah pinggang sehingga terpaksa dilakukan dialisis.
Gilir-gilir baca Yassin. Mak tinggalkan kami di rumah kerana nak jaga abah di hospital. Aku ada juga meneman mak di hospital.
Pakcik (adik abah) datang melawat. Bawakkan sekali uwan (mak abah) untuk melihat abah yang terbaring.
Ramai rakan-rakan seperjuangan abah datang melawat. Semasa hayat abah, abah memang ramai kenalan, dari orang biasa-biasa sampai orang kenamaan (disebabkan kerjanya sebagai penulis dan pernah bergiat dalam politik membuatkan dia ramai kawan dari pelbagai latar belakang). Tak putus-putus mereka menziarah abah. Terima kasih pada yang sudi menziarah.
11 Ogos 2009 - Malam tu aku tidur awal untuk ke sekolah keesokan harinya. Tetapi mak menyuruh kami ke hospital, katanya abah makin tenat. Tak fikir panjang terus saja kami ke hospital. Kami baca Yassin bergilir-gilir. Tengok segala usaha yang doktor buat untuk selamatkan abah. Abah dah taknak terima susu. Darah dialisis yang keluar cair, tapi bila hendak masuk ke dalam badan balik jadi pekat menyebabkan badan abah agak menolak darah yang masuk. Gelombang jantung pada skrin pun dah tak normal. Malam tu kami tidur on off sahaja. Tak boleh lena. Aku masih tak sedia untuk hilang abah lagi.
12 Ogos 2009 - Lebih kurang 7.30 pagi, doktor panggil kami ke wad. Dimintanya kami untuk terima segala kemungkinan. Abang ajar abah mengucap. Aku sempat sekali ajarkan dia mengucap dan terus aku menangis teresak. Itulah bakti terakhir aku pada abah. Abah nampak sangat susah nak pergi. Kami telefon uwan, maklong (kakak abah) bagi mereka cakap dengan abah, untuk maafkan abah, halalkan segala-galanya. Tapi keadaan masih sama. Kami pandang Caah, anak istimewa abah. Mungkin sebab Caah, abah susah nak pergi. Perlahan-lahan mak dan abang bisik di telinga abah, "Abah pergilah ye, jangan risau pasal Caah. Orang akan jaga Caah" begitulah lebih kurang. Tak lama selepas itu, doktor usaha buat CPR dan buat kejutan elektrik pada dada abah (tak tau nama alat tu) sebab jantung abah berhenti berdenyut dan pada pukul 8.30 pagi, doktor isytiharkan jantung abah berhenti berdenyut sepenuhnya.
Aku rasa dunia sangat gelap. "Betul ke aku dah tak de ayah?" Aku peluk belakang Adang. Aku cium kaki abah. Aku tak percaya dan tak boleh terima hakikat. Akhirnya aku akur juga. Mungkin itu yang terbaik buat abah.
Haritu juga kami uruskan abah. Bawa dia balik ke kampung di mana dia semadikan Bang Am. Biarlah mereka dekat. Ramai yang datang di rumah. Membantu apa yang patut. Beri sumbangan. Terima kasih pada mereka. Lepas lah sedikit untuk urusan pengebumian abah dan tahlil.
Waktu dibawa ke rumah, muka abah senyum sikit. Mungkin dia gembira isteri, anak-anak ada dan rakan-rakan datang menziarah. Ketika mandi dan solat di masjid, ada kawan abah menegur bau wangi yang lain macam. Tak apalah, itu amalan abah.
Sewaktu perjalanan bawa abah ke Negeri Sembilan, hujan turun renyai-renyai seolah-olah turut meratapi. Selepas sampai di rumah uwan dan letak abah di ruang tamu, lagi sekali aku terkejut melihat muka abah. Senyumnya lagi lebar, tidak seperti di rumah tadi. Seolah-olah abah melihat sesuatu yang indah di atas sana. Sehingga spontan aku menyebut, "Eh, abah senyum ye". Aku menyimpulkan mungkin abah gembira hasratnya untuk dikebumikan berdekatan dengan Bang Am, atok (ayah abah) dan adik-beradik dia yang lain tertunai.
Lama aku pulihkan semangat. Tak sampai setahun Bang Am pergi, abah pula menyusul. Memang ajal dah tertulis, tapi abah lebih kepada makan hati. Sakit rindu. Dia rasa seolah-olah dia tak pandai jaga anak bila Bang Am meninggal. Pantang ada duit, abah pasti akan melawat uwan dan menziarah kubur Bang Am dan lain-lain. Mungkin taatnya abah pada orang tua, Allah kurniakan bau-bauan yang menyenangkan dan rupa yang sangat indah tersenyum.
Ketika itu aku di Tingkatan 4. Belum ada apa-apa yang aku boleh banggakan abah. Yang ada, aku hanya buat dia susah hati. Sekarang aku dah 23 tahun dan ada serba sedikit yang boleh buat dia bangga, tapi malangnya abah dah takde. Abah sempat tengok anak-anak lain habis belajar dan bekerja, tapi aku? SPM pun abah tak sempat tengok. Aku pernah cakap dengan abah nak beli rumah untuk abah, tetapi dijawabnya, "Tah abah ada lagi ke tidak masa tu". Jujur aku terkilan dari segi itu. Dan sekarang, baru aku faham apa maksudnya pada pertolongan terakhir itu. Memang itulah yang terakhir dia tolong aku sebab dia tahu masa dia semakin suntuk.
12 Ogos 2016, genap 7 tahun abah pergi. 26 Ogos 2016 genap 8 tahun Bang Am pergi. Ketika ini aku sedang tunaikan impiannya untuk tamat belajar di Unisel. Dia tak sempat habiskan diplomanya sebab Allah lagi sayangkan dia.
Walau hidup susah, aku bahagia ada ayah macam abah. Walaupun abah kenal ramai orang, dia tidak pandai pergunakan orang untuk kepentingan diri sendiri seperti orang lain buat. Abah menulis bukan sebab nama. Tetapi untuk membuka minda manusia dan memperkasakan anak bangsa. Itu sahaja passion dia.
Aku masih perlahan-lahan kurangkan kepala bengkeng aku ni. Sekarang ni mak lah tempat aku mengadu kasih. Semoga Allah panjangkan usia mak.
Kepada yang masih ada ibu ayah, hargailah mereka ketika mereka masih ada. Jangan menyesal bila mereka dah tiada.
Abah, Bang Am, tunggu kami kat sana ye!
No comments:
Post a Comment